Jan 12, 2023 - FASPemain tengah pasukan kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh hari ini secara rasmi diumumkan sebagai pemain import terbaru pertama Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2023.
Berasal dari Amman, Jordan, pemain ini telah membuat penampilan pertama bersama pasukan negara kelahirannya pada 7 Ogos 2019 seawal usia 22 tahun dan berjaya membuat 27 penampilan sehingga kini.
Selain beraksi di luar negara bersama pasukan kebangsaan Jordan, pemain yang mesra dengan panggilan Noor ini juga pernah beraksi dalam saingan Piala AFC selama tiga musim bersama Al Jazeera dari tahun 2017. Beliau kemudian menjadi antara nadi utama pasukan Al-Muharraq SC yang menjuarai Piala AFC 2021 selepas menewaskan FC Nasaf 3-0 di Stadium Sheikh Ali bin Mohammed Al Khalifa.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, penambahan Noor yang digelar 'The Engineer' akan memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan dengan kualiti yang beliau miliki.
"Kita tahu dalam sebuah pasukan, bahagian tengah sangat penting bagi menggerakkan pasukan, jadi saya yakin beliau ada kualiti untuk beraksi dengan baik bersama pasukan. Saya berharap beliau akan menghasilkan bahagian tengah pasukan yang kuat bersama rakan pasukan yang lain.
Kita juga tahu Noor dan Yazan merupakan rakan sepasukan bersama pasukan Jordan. Saya yakin dengan kombinasi dua pemain ini, mereka mampu membuat pergerakan yang baik dari pertahanan ke bahagian tengah pasukan," tambah Tan Cheng Hoe.
Sempat ditemubual, pemain berketinggian 182cm itu juga berharap dapat membuat kelab dan para penyokong bangga dengan pasukan.
"Saya dengar perkara baik mengenai pasukan Selangor FC, oleh itu saya pilih untuk berada di sini. Saya juga teruja untuk berjumpa dengan para penyokong Gergasi Merah tidak lama lagi. Saya berharap penyokong akan bangga dengan pasukan musim ini," semangat pemain berusia 26 tahun ini.
Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Noor Al-Rawabdeh. Semoga beliau dapat menambah kekuatan di bahagian tengah pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2023 yang akan bermula tidak lama lagi.
Noor merupakan pemain terbaru keempat yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Ruventhiran, Khuzaimi Piee dan Faisal Halim sebelum ini.
Selamat berjuang bersama Gergasi Merah, Noor!
Terus ikuti media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim ini.
Demi Kebanggaan!